
SEPUPU kepada pelakon dan usahawan Zeoy Rahman antara mangsa yang maut dalam kemalangan membabitkan sebuah bas membawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik, Perak pada Isnin.
Zoey atau Mohd Hairey Azhar Abdul Rahman berkata dia terkejut apabila menerima khabar mangsa iaitu Fakhrul Arif Rosli disahkan meninggal dunia menerusi aplikasi WhatsApp keluarga pada awal pagi.

Katanya, arwah dalam perjalanan pulang dari kampung halaman di Pasir Akar, Jerteh, Terengganu ke UPSI, Tanjung Malim, Perak selepas menyambut Hari Raya Aidiladha bersama keluarga.
“Saya menerima khabar itu pada subuh tadi dalam group WhatsApp keluarga. Mula-mula kami tidak tahu arwah selamat atau tidak, cuma tahu 15 orang saja yang meninggal.
“Tapi selepas beberapa minit baru dapat berita mengesahkan dia meninggal di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi mStar.
Berkongsi mengenai hubungannya bersama arwah, Zoey berkata kali terakhir mereka bertemu adalah pada Hari Raya Aidilfitri lalu dan menyifatkan Fakhrul sebagai sepupu yang rapat serta memiliki budi perkerti baik.

“Saya tak balik kampung Aidiladha ini, kali terakhir pun jumpa pada Aidilfitri lalu. Saya boleh sifatkan dia seorang yang baik, pendiam dan bijak orangnya,” katanya lagi.

Leave a Reply