
Polis mengesahkan sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) meninggal dunia dalam nahas di KM15, Jalan Sungai Manik–Sungai Lampam di sini pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Dr Bakri Zainal Abidin berkata, seorang anggota meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Teluk Intan, manakala lapan lagi maut di lokasi kejadian.
“Dua anggota masih menerima rawatan di Zon Merah, manakala tujuh anggota lagi di Zon Kuning.
“Pemandu lori berusia dalam lingkungan 40-an tidak mengalami kecederaan dan telah ditahan. Saringan awal mendapati dia negatif dadah,” katanya.
Menurut beliau, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi mengetahui punca sebenar kemalangan.

“Bedah siasat kesemua mangsa akan dijalankan pada jam 2.30 petang sebelum dibawa ke surau Ibu Pejabat Polis Daerah Hilir Perak untuk disembahyangkan.
“Orang awam yang mempunyai maklumat juga diminta tampil bagi membantu melengkapkan siasatan,” katanya.
Difahamkan dalam kejadian pagi Selasa itu, kenderaan FRU terbabit dalam perjalanan pulang ke Ipoh selepas selesai melaksanakan tugas di bawah Op Chariot di Teluk Intan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, merakamkan ucapan takziah kepada waris mangsa yang terlibat dalam kemalangan membabitkan anggota Pasukan Simpanan Polis Persekutuan (FRU) di Teluk Intan.
Menerusi hantaran di laman Facebook, beliau berkata, pemergian mereka merupakan satu kehilangan besar buat negara kerana telah berkhidmat dengan penuh dedikasi dalam menjaga keamanan dan keselamatan rakyat.
“Saya menerima perkhabaran duka mengenai kemalangan tragik yang meragut nyawa lapan anggota FRU dalam insiden membabitkan sebuah trak yang mereka naiki dan sebuah lori muatan batu di Jalan Chikus-Sungai Lampam, Teluk Intan, pagi ini.
Kegagalan fungsi stereng sebuah lori pasir menjadi punca nahas yang mengorbankan sembilan orang termasuk lapan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Jalan Chikus–Sungai Lampam, Perak pada Selasa.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, maklumat mengenai kejadian itu diterima pada jam 8.51 pagi dan melibatkan sebuah lori pasukan yang membawa 18 anggota dengan sebuah lori muatan pasir.
“Lori FRU Unit 5 tersebut dalam perjalanan pulang ke Ipoh setelah selesai penugasan sempena perayaan Chitrapournami di Teluk Intan.
“Ketika tiba di lokasi kejadian, kenderaan pasukan telah dirempuh dari hadapan oleh lori pasir terbabit yang dipercayai mengalami kegagalan fungsi stereng,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Menurut beliau, pemeriksaan mendapati lapan anggota dan pemandu lori telah meninggal dunia di tempat kejadian.
“Enam anggota mengalami cedera parah dan empat yang lain cedera ringan. Kesemua mangsa telah dihantar ke Hospital Teluk Intan.
“Polis Perak menzahirkan ucapan takziah kepada ahli keluarga mangsa yang terlibat,” katanya.

“Semoga ALLAH SWT mengampunkan dosa, menempatkan roh mereka bersama orang-orang yang beriman dan menganugerahkan pahala atas segala jasa serta sumbangan para wira ini kepada negara,” katanya.
Terdahulu polis Perak mengusahakan 10 anggota FRU meninggal dunia dalam insiden yang berlaku jam 8.30 pagi membabitkan lori muatan batu di Jalan Chikus, Sungai Lampam, Teluk Intan, Perak.
Sementara 10 lagi cedera dikejarkan ke Hospital Teluk Intan untuk menerima rawatan.
Sekurang-kurangnya lapan dilaporkan maut dalam nahas melibatkan sebuah kenderaan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) bertembung dengan lori muatan batu di Jalan Chikus -Sungai Lampam di sini pada Selasa.
Maklumat awal memaklumkan, kesemua mangsa yang maut merupakan anggota FRU dengan sebahagiannya cedera parah akibat tersepit.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.
Menurutnya, panggilan kejadian itu diterima Balai Bomba dan Penyelamat Teluk Intan jam 8.54 pagi melibatkan kenderaan FRU membawa 15 penumpang dan pemandu.
“Setakat ini mangsa yang disahkan maut seramai lapan orang. Mangsa yang dikeluarkan telah dihantar ke hospital.
“Kerja-kerja menyelamat sedang dijalankan di lokasi kejadian,” katanya.
Suasana sugul menyelubungi pekarangan Unit Forensik Hospital Teluk Intan, apabila semakin ramai ahli keluarga serta rakan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang terkorban dalam kemalangan pagi tadi, tiba untuk menunggu proses bedah siasat.
Tinjauan mendapati, ada antara mereka kelihatan menitiskan air mata malah ada juga yang meratapi pemergian insan tersayang secara tiba-tiba.
Selain itu, ramai juga dalam kalangan ahli keluarga dan rakan-rakan cuba menenangkan antara satu sama lain.
Turut hadir Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Bakri Zainal Abidin, yang mengesahkan setakat ini sembilan anggota FRU terkorban dalam tragedi menyayat hati itu.
Beliau turut mengesahkan lokasi kejadian itu bukanlah kawasan ‘hotspot’ kemalangan.
Selepas lebih tiga dekad, negara sekali lagi dikejutkan dengan insiden menyayat hati membabitkan kemalangan maut melibatkan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), yang menggamit semula ingatan terhadap tragedi hitam di Lebuhraya Karak pada tahun 1990.
Dalam kejadian terbaharu yang berlaku pagi Selasa, seramai sembilan anggota FRU dilaporkan maut selepas kenderaan yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori muatan batu di Jalan Chikus–Sungai Lampam, di sini.
Difahamkan, kenderaan yang membawa 18 penumpang termasuk pemandu itu dalam perjalanan pulang ke Ipoh selepas selesai melaksanakan tugas di bawah Op Chariot di Teluk Intan.
Insiden tragis ini secara tidak langsung membuka semula lembaran duka tragedi di Lebuhraya Karak pada 28 Februari 1990 yang telah meragut 11 nyawa anggota FRU daripada Trup 4B, Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur.
Ketika itu, trak yang membawa anggota terbabit dirempuh oleh sebuah bas ekspres yang hilang kawalan akibat kegagalan sistem brek ketika menuruni cerun.
Nahas tersebut mengorbankan 15 nyawa, termasuk empat orang awam.
Siasatan mendapati rempuhan kuat menyebabkan trak FRU terperosok di bawah bas sebelum dihentam pula oleh sebuah lori tangki minyak yang cuba mengelak perlanggaran.
Lima anggota FRU maut di lokasi kejadian, manakala enam lagi meninggal dunia di hospital ketika menerima rawatan.
Nama-nama mereka kekal terpahat dalam sejarah sebagai wira negara yang gugur dalam perkhidmatan.
Insiden yang berulang ini mengundang persoalan mengenai tahap keselamatan pengangkutan anggota keselamatan negara, khususnya ketika pergerakan dalam kumpulan besar.
Pihak berkuasa disaran menyemak semula prosedur operasi standard (SOP) pergerakan kenderaan pasukan keselamatan, termasuk pemeriksaan kondisi kenderaan, pemilihan laluan berisiko tinggi, dan aspek latihan pemanduan defensif.
Dalam pada itu, masyarakat diseru agar mendoakan keselamatan dan ketabahan keluarga mangsa yang terkorban demi tanah air.
“Tragedi mungkin tidak dapat dielakkan, tetapi pengajaran daripadanya wajib diambil kira agar nyawa tidak terus menjadi korban di jalan raya.”
Berikut senarai PRP FRU Unit 5 (meninggal dunia):
1. Sarjan S Perumal, 44 tahun
2. Sarjan Mohd Roslan Abd Rahim, 46 tahun (meninggal dunia di zon merah Hospital Teluk Intan)
3. Koperal Mohd Pozli Jaudin, 41 tahun
4. Koperal Nurit Ak Pandak, 34 tahun
5. Koperal Amiruddin Zabri, 38 tahun
6. Koperal Mohamad Hilmi Mohd Azlan, 38 tahun
7. Koperal Muhamad Akmal Muhamad, 35 tahun
8. Lans Koperal Damarrulan Abdul Latif, 33 tahun
9. Konstabel Akmal Wafi Annuar, 28 tahun
Berikut senarai PRP FRU Unit 5 (cedera):
1. Sarjan Mazlan Mat, 50 tahun
2. Sarjan Mohd Parih Ali, 44 tahun
3. Koperal Haslizal Mohd Ali, 44 tahun
4. Koperal Nizam Tarmizi, 38 tahun
5. Koperal Mohd Izwan Ishak, 39 tahun
6. Koperal Mohd Harrisul Ikhsan Mohd Mahabudin, 39 tahun
7. Koperal Syed Isfan Syed Mohammad, 32 tahun
8. Koperal Mohammad Zulnaidi Muhammad Zulkifli, 34 tahun
9. Lans Koperal Muhammad Aniq Taufiq Rozi, 26 tahun
Leave a Reply